Total Pageviews

Monday, July 25, 2011

Impian Perkahwinan Innershine

Assalammualaikum...

Semua majlis perkahwinan adalah sama cuma yang membezakannya adalah tema. Apabila wujudnya tema, bermacam-macam idea dilahirkan agar majlis kelihatan meriah dan pastinya menjadi ingatan untuk tetamu dan semestinya pasangan pengantin itu sendiri. Tema bagi impian perkahwinan saya ialah kontemporari dalam taman. Saya memilih konsep kontemporari kerana boleh di mix and matchkan dan konsep dalam taman pula adalah kerana ingin menggunakan taman sedia ada yang telah diusahakan oleh emak dan ayah saya. Bukanlah hendak bersanding pada setiap penjuru taman cuma saya sudah boleh berjimat untuk kos pokok-pokok dan bunga-bungaan.

Impian perkahwinan saya sedikit mengada-ngada. Walaupun majlis diadakan di kampung tetapi saya mahukan perbezaan. Malam menjelang hari persandingan, sesetengah pengantin memilih untuk melakukan adat malam berinai dan ada juga memilih untuk khatam quran atau bermarhaban. Selepas tamat apa jua acara yang bakal dijalankan pada malam tersebut, percikan bunga api akan dilepaskan ke langit. Acara ini bukanlah tanda permulaan majlis tetapi sekadar memeriahkan lagi suasana malam tersebut. Saya mengimpikan acara ini pada majlis pertunangan saya dan pasangan tetapi disebabkan majlis diadakan pada siang hari, maka tembakan bunga api terpaksa dilupakan.

Acara pada hari esok, sama seperti majlis pengantin lain cuma bezanya kami hanyalah beberapa perkara kecil. Kebiasaanya, lagu-lagu romantik dimainkan di dalam dewan semasa sepasang pengantin berjalan menuju ke pelamin. Itu mengilhamkan saya untuk perkara yang serupa. Pengendali PA system pada majlis saya dipertanggungjawabkan memainkan lagu-lagu cinta sahaja. Pelbagai kategori dan bahasa selagi ianya berlandaskan lagu cinta akan dimainkan. Lagu-lagu ini akan dimainkan sehingga majlis tamat. Sebagai tetamu untuk majlis-majlis kahwin, saya kurang menggemari jika lagu yang dimainkan berentak rock dan kasar ataupun lagu yang tidak berunsurkan manisnya cinta.

Semasa rombongan lelaki menuju ke rumah pengantin perempaun, mereka akan diiringi dengan paluan kompang. Sebelum terlupa, pengantin akan berjalan diatas karpet merah ye? Karpet ini hanya akan dibentang sejurus sebelum pengantin tiba di perkarangan rumah saya! Apabila tiba dipagar rumah, paluan kompang tersebut akan digantikan dengan alunan lagu cinta yang terpilih yang bisa membuatkan para tetamu berbunga hatinya, apatah lagi saya. Suasana ditambahkan lagi dengan perisa romantik kelas A apabila pengapit lelaki menyerahkan jambangan bunga kepada pengantin lelaki untuk diserahkan kepada saya. Untuk seketika, lagu-lagu romantik akan terus dimainkan sebelum paluan kompang disambung kembali. Seterusnya majlis bersanding dan tepung tawar seperti kebiasaan pengantin yang lain.

Semasa kami menjamu bagi makan beradab, persembahan silat dan tarian zapin akan dipersembahkan oleh ahli-ahli cilik. Ini kerana, mereka kelihatan lebih ringan disamping comel dengan karenah masing-masing. Bukanlah berani mengambil risiko kerana apabila bekerja dengan kanak-kanak apasaja boleh terjadi, tetapi muka-muka dewasa terlalu garang dan sudah menjadi kebiasaan orang dewasa saja yang akan memenuhi acara tersebut.

Untuk malam terakhir majlis kami nanti, ingin sekali lagi saya melihat bunga api di langit. Saya memang sukakan bunga api!

Saya tidak sabar untuk melakukan ini. Semakin saya memikirkannya semakin banyak ilham baru muncul untuk direalisasikan. Orang beranggapan meriah tetapi sederhana walhal pembaziran masih berlaku. Pada saya, sederhana tetapi meriah adalah lebih sesuai dengan impian dan konsep majlis perkahwinan saya dan Jaafar.

terima kasih innershine -

No comments:

Post a Comment

well, sila-silakanlah